Projek RTB Banjir Sg. Miri dijangka siap Oktober 2025

MIRI: Projek Rancangan Tebatan (RTB) Banjir Sg. Miri di sini bernilai RM25.6 juta dijangka siap sepenuhnya pada Oktober 2025.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Dato Sri Fadillah Yusof berkata, projek terbabit mula dilaksanakan sejak Oktober 2023.

“Melalui pelaksanaan projek ini, seluas 1,100 hektar dan dianggarkan seramai 12,000 penduduk di kawasan persekitaran akan terhindar dari risiko bencana banjir,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan projek persekutuan dan menghadiri majlis penyerahan projek siap Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) kepada Kerajaan Sarawak di sini, semalam.

Fadillah berkata, sebanyak lima projek siap JPS diserahkan kepada Kerajaan Sarawak melibatkan peruntukan Persekutuan berjumlah RM52 juta terdiri dari tiga projek RTB dan dua projek hakisan pantai.

Katanya dengan siapnya tiga projek tebatan banjir ini, seramai 3,500 penduduk di kawasan terlibat akan mendapat perlindungan daripada risiko banjir.

“Manakala pelaksanaan dua projek hakisan pantai ini akan memberi manfaat kepada seramai hampir 11,000 penduduk dan nelayan daripada risiko banjir dan hakisan pantai,”tambahnya.

Projek terbabit ialah RTB Kawasan Penempatan Semula Kampung Bako di Kuching, RTB Kampung Sebemban di Lembangan Batang Sadong, RTB Bintulu di Lembangan Sungai Kemena.

Seterusnya Projek Pengawalan Hakisan Pantai Di Kampung Kuala Hilir Oya di Bahagian Mukah; dan Projek Pemuliharaan Muara-Muara Sungai Bagi Negeri Sarawak – Kerja-Kerja Pemuliharaan Muara Sungai Sematan di Bahagian Kuching.