KUCHING: Kerajaan Sarawak memberi Petroliam Nasional Bhd ( PETRONAS) tempoh sehingga 1 Oktober depan bagi berbincang dengan (Petroleum Sarawak Bhd ) PETROS berhubung pengagihan gas di Sarawak.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, sebelum ini perbincangan itu ditangguh dari 1 Julai lalu seperti diminta PETRONAS.
“Kita memberi mereka tempoh tiga bulan sahaja dan dalam tempoh itu perkara itu harus diselesaikan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Menaikkan Bendera Ibu Pertiwi anjuran Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) di Dataran Ibu Pertiwi, di sini, hari ini.
Abang Johari berkata, sekiranya tidak selesai dalam tempoh itu maka pada 1 Oktober depan, PETROS menjalankan kuasa kawal selia pengagihan gas di Sarawak.
“Memang dari sudut kawal selia PETROS yang mempunyai kuasa untuk mengawalkan pengagihan gas kita,” menurutnya.
Abang Johari menjelaskan, syarikat minyak dan gas lain sudah bersetuju dengan perkara itu termasuk SHELL malah EXXON dan pelabur lain dari Turki juga mahu datang ke Sarawak.
“Dari sudut kawal selia gas dan juga mencari gas, sudah ada perbincangan di antara pihak PETROS dan pihak pelabur lain,” katanya.
Majlis itu turut dihadiri kesemua Timbalan Premier Sarawak iaitu Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Dr Sim Kui Hian serta Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar.