BELAWAI: Projek naik taraf sekolah berjumlah RM350,000 telah diluluskan dan sedang dilaksanakan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Belawai di sini.
Ahli Parlimen Tanjong Manis, Ir Yusuf Abd Wahab berkata, projek terbabit adalah naik taraf dataran dan jalan dalam sekolah (RM150,000) dan naik taraf empat gelanggang dalam sekolah (RM 200,000).
Katanya, Projek Mesra Rakyat berkaitan institusi pendidikan di kawasan Parlimen Tanjong Manis berjumlah keseluruhan hampir RM2 juta tahun ini.
“Saya harap agar usaha pembangunan ini memberi manfaat serta meningkatkan taraf pendidikan di kawasan Parlimen Tanjong Manis,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Program Ekspo Pendidikan Sarawak 2024 peringkat Daerah Tanjung Manis di Dewan Sri Barong SMK Belawai di sini, baru-baru ini.
