KUCHING: Pelabur asing menaruh minat untuk melabur di Sarawak dengan potensi pelaburan dianggarkan mencecah RM117.4 bilion, kata Timbalan Premier Sarawak. Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Beliau yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Industri Sarawak berkata, setakat Jun 2024, jumlah pelaburan yang diluluskan termasuk Jawatankuasa Penyelarasan Perindustrian (ICC) mencatat nilai berjumlah RM10.4 bilion.
Daripada jumlah itu, pelaburan langsung asing berjumlah RM5.7 bilion dan pelaburan langsung domestik bernilai RM4.7 bilion, katanya pada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Penyelarasan Industri (JBI) antara Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan Kerajaan Sarawak di sini.
Menteri MITI, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz turut menghadiri mesyuarat berkenaan dan sidang media.
Mesyuarat JBI itu menyediakan peluang bagi membincangkan strategi dan pendekatan bersama dalam menyelaraskan perdagangan, pelaburan dan pembangunan perindustrian di negeri ini.
Awang Tengah menegaskan, oleh kerana Sarawak kekal sebagai destinasi pelaburan pilihan dan menarik, adalah penting untuk memastikan dasar berkaitan diselaraskan di peringkat persekutuan dan negeri konsisten bagi menyokong kelestarian perdagangan dan pembangunan perindustrian.
Mesyuarat tersebut juga, katanya, adalah sebagai platform bagi MITI dan kementeriannya berkongsi dan mengenal pasti cabaran serta mencari penyelesaian terbaik dalam menangani cabaran mendatang.
Sungguhpun Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak memiliki keutamaan dan matlamat berbeza dalam membangunkan negara dan negeri ini, beliau berkata, komitmen berterusan dan penyelarasan pada peringkat pusat dan negeri akan mewujudkan strategi dan kolaborasi berkesan.
Sarawak, katanya, akan menganjurkan Sarawak Mega Fair 2025 di Singapura pada 2025 dengan matlamat menggalak perdagangan, pelaburan dan pelancongan antarabangsa antara Sarawak, Singapura dan seterusnya.
Sarawak Mega Fair itu juga untuk menyedia platform interaktif bagi pemimpim perniagaan dan pemegang taruh dari Sarawak, Singapura dan wilayah ini untuk saling berhubung selain membuka ruang kepada peluang baharu perniagaan, pelaburan dan pelancongan, katanya dan mengucap terima kasih kepada MITI dan agensinya MIDA dan MATRADE.