Masjid baharu untuk Kabong

KABONG: Daerah Kabong akan memiliki sebuah masjid baharu berharga RM22 juta dengan proses akhir dokumentasinya hampir selesai.

Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, sejurus selepas itu proses menawarkan tendernya dijangka diadakan dalam masa terdekat.

“Sekiranya berjalan lancar, kerja-kerja pembinaan akan bermula pada September atau Oktober tahun ini,” katanya ketika mengadakan lawatan ke tapak pembinaan masjid baharu Kabong dan Surau Metang Desa dekat sini semalam.

Dr Abdul Rahman berkata, tempoh pembinaan masjid berkenaan adalah selama 20 bulan dan dijangka siap pada suku kedua tahun 2026.

“Pembinaan masjid baharu di tapak seluas dua hektar lebih (5.3 ekar) itu mampu memuatkan seramai 3,000 jemaah pada satu-satu masa,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Mohd Chee Kadir menzahirkan terima kasih kepada Kerajaan Sarawak kerana meluluskan projek pembinaan sebuah masjid baharu di Kabong.

“Apabila siap kelak, masjid baharu itu nanti bakal menjadi simbol pembangunan syiar Islam bagi menggantikan masjid lama yang tidak dapat lagi menampung jumlah jemaah yang semakin hari semakin meningkat.

“Projek pembinaan masjid baharu ini nanti dilihat mengakhiri penantian penduduk di Kampung Kabong sejak sekian lama,” katanya.