Sarawak peneraju tenaga hijau

PUTRAJAYA: Hasrat Sarawak membangunkan infrastruktur digital, teknologi hijau dan penyelesaian inovatif adalah untuk meletakkan negeri ini sebagai peneraju dalam ekonomi digital dan sektor tenaga hijau di rantau ini, kata Premier Sarawak.

Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, strategi membangunkan teknologi itu akan menggerakkan pertumbuhan, mewujudkan keterangkuman dan memupuk kepelbagaian.

“Dalam usaha menerajui ekonomi digital itu, Sarawak telah melancarkan Halatuju Ekonomi Digital 2030,” katanya dalam ucaptamanya pada sidang ENTICE Lembaga Teknologi Malaysia (MBOT) 2024 di sini.

Beliau menegaskan, strategi itu akan mentransformasikan ekonomi Sarawak yang digerakkan oleh digital menjelang tahun 2030.

Menurut Premier Sarawak, Kerajaan Sarawak telah memperuntukkan RM1.89 bilion untuk membangunkan infrastuktur dan kemahiran digital di bawah Inisiatif Rangkaian Bandar, Desa dan Negara Sarawak (SALURAN).

Projek itu, katanya, bertujuan menyediakan internet berkelajuan tinggi dan meningkatkan ekonomi digital untuk membolehkan semua rakyat terutama penduduk luar bandar manfaat peluang digital saksana tanpa meminggirkan sesiapa.

Dalam pada itu, tambahnya, Sarawak turut membangunkan ekosistem teknikal dinamik Kampung Digital dan 22 hab inovasi melalui Tabungan Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) yang disokong oleh kerajaan dan industri untuk mempercepatkan pertumbuhan, inovasi, mewujud pekerjaan dan menjadikan Sarawak sebagai Lembah Silikon.

Sebagai sebahagian daripada Halatuju Ekonomi Digital 2030, katanya, Sarawak menggunakan kecerdasan buatan (AI) untuk merevolusikan penjagaan kesihatan dan bidang petanian bagi meningkatkan hasil tanaman dan pengurusan sumber.

Selain itu, katanya, Sarawak berkolaborasi dengan syarikat semikonduktor bertujuan meletakkan Sarawak sebagai hab terkemuka semikonduktor ASEAN menjelang 2030.

Kabinet Negeri Sarawak telah meluluskan Pusat Kecerdasan Buatan Sarawak (SAIC) unuk memberi tumpuan kepada penyelidikan, pembangunan dan perdagangan AI.

SAIC akan membangunkan bakat tempatan, menarik pakar dunia dan meletakkan Sarawak sebagai peneraju teknologi AI di Malaysia terutama memacu aplikasi baharu dan inovatif dalam pelbagai sektor untuk meningkatkan keupayaan teknologi negeri ini, tegas beliau.

Menyedari peranan penting Pusat Data dalam ekonomi digital, katanya, Sarawak berkongsi dengan sektor swasta untuk mewujudkan Pusat Data Hijau dengan membangunkan Taman Pusat Data Hijau 200MW untuk membina infrastruktur digital mampan dengan kemajuan teknologi cekap tenaga.

Halatuju Ekonomi Digital Sarawak, tambahnya, telah meletakkan asas kukuh bagi kesejahteraan, inklusif dan kemajuan teknologi, menjamin daya saing dalam ekonomi digital global serta sebagai komitmen membina alam sekitar mampan.

Sarawak turut komited menangani perubahan iklim dan kelestarian pembangunan masa depan, katanya dan menambah, sungguhpun saiz negeri ini sederhana, Sarawak berusaha mengurangkan pelepasan gas rumah hijau dan beralih kepada ekonomi rendah karbon.

Sarawak, tegas beliau, turut melabur dalam teknologi hijau, mengembangkan tenaga hidro dan tenaga solar dan mempelbagaikan campuran tenaga dengan sumber diperbaharui.

Menggandakan keupayaan tenaga elektrik hijau kepada 10 gigawatt (GW) menjelang 2030, katanya, merupakan halatuju membangunkan tenaga mampan dan meletakkan Sarawak sebagai Kuasa Tenaga Hijau di ASEAN melalui kolaborasi dengan peneraju tenaga bersih global yang akan membangunkan Ekonomi Hijau.

Sarawak turut menerokai sumber tenaga alternatif, termasuk mengubah loji tenaga arang batu kepada biomass dan membangunkan tenaga gelombang sebagai tenaga campuran, tambah beliau.

Dua loji tenaga arang batu sedia ada di Balingian (Mukah) dan Sejingkat (Kuching), katanya, akan diubah menjadi loji biomass yang boleh menyediakan lebihan tenaga 500 megawatt (MW).

Dengan kerajaan yang stabil dan perkongsian kukuh antarabangsa, katanya, Sarawak berhasrat mengurangkan karbon dan mencapai pengurangan karbon pada masa depan.

Oleh kerana peralihan kepada operasi pelabuhan hijau dan bijak semakin rancak di ASEAN, katanya, Sarawak merancang membina pelabuhan hijau dan menghasil bahan bakar hijau, menubuhkan hab wilayah bekalan bagi bahan bakar hijau dan melaksanakan Koridor Utiliti Bersama untuk kemudahan pelabuhan moden.

Kerajaan Sarawak akan mengurangkan jurang ekonomi dengan menggunakan teknologi dan membangunkan inovasi bagi menjamin rakyat menikmati kemakmuran ekonomi.

Selepas mencapai Pendapatan Negara Kasar (PNK) per kapita lebih USD13,205 tahun lalu, beliau berkata, tahun ini Sarawak mencapai lebih USD16,560.