Sarawak rekod 90 titik panas pada Julai

KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) menyasarkan sifar kebakaran besar di bahagian Miri susulan cuaca panas dan kering pada masa ini.

Pengerusi JPBNS yang juga Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, daripada 152 titik panas yang dikesan di Sarawak dari 1 Januari hingga 30 Julai lalu, 42 daripadanya adalah dari bahagian tersebut.

Menurutnya, Sarawak merekodkan 90 titik panas pada Julai.

“Ini termasuk 21 di Miri diikuti Kapit (16), Bintulu dan Sri Aman masing-masing 11.

“Kawasan tanah gambut di Kuala Baram di Miri sangat terdedah kepada kebakaran belukar pada setiap musim panas dan kering,” katanya.

Terdahulu, beliau mempengerusikan mesyuarat JPBNS bagi membincangkan persiapan menghadapi situasi cuaca panas dengan semua Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian dan Daerah serta jabatan dan agensi kerajaan yang berkaitan.

Dalam amanatnya, beliau mahu semua jabatan dan agensi serta pemilik tanah perlu proaktif dalam segala persiapan mereka.

Beliau juga memohon Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) negeri untuk memantau dan mengesan kejadian kebakaran.

“NREB perlu mempergiatkan aktiviti pengawasan, pemantauan dan penguatkuasaan sepanjang masa,” tambahnya.

Douglas turut dimaklumkan dari Januari hingga Julai 2024, Indeks Pencemaran Udara (IPU) berada dalam julat dari baik hingga sederhana di Sarawak.

Mengenainya, Prosedur Operasi Standard (SOP) mengenai jerebu akan diaktifkan sebaik sahaja IPU mencapai 100.

Katanya, NREB membekukan permit untuk syarikat melakukan pembakaran terbuka di negeri ini selepas Jun tahun ini.

Sehubungan itu, Uggah menasihatkan orang ramai supaya tidak melakukan pembakaran terbuka bagi mengelak kebakaran di luar kawalan.

Hadir sama Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian.