Gua Niah tarik pelancong dunia

KUCHING: Gua Niah yang diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO baru-baru ini merupakan kejayaan besar dalam landskap pelancongan Sarawak.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pengiktirafan itu menandakan kejayaan wilayah ini memiliki ciri-ciri kekayaan budaya dan warisan semula jadi.

Di samping itu, menunjukkan komitmen dalam memelihara kekayaan budaya dan warisan semula jadi untuk generasi akan datang, katanya semasa merasmikan persidangan ‘Pelancongan dan Keamanan: Memupuk Keamanan dan Masyarakat Inklusif untuk Pembangunan Mampan’ di sini.

Abdul Karim menegaskan, kemajuan dalam bidang pelancongan ada kaitan dengan kelestarian keamanan sejagat dan pelancongan memain peranan penting sebagai katalis memupuk keamanan dan persefahaman antara negara dan budaya.

Pengiktirafan Gua Niah itu mencerminkan kesungguhan Sarawak terhadap pembangunan pelancongan secara bertanggungjawab, tegas beliau dan menambah, ia akan memupuk keamanan dan persefahaman dengan mempamerkan perkongsian sejarah manusia.

Menurut Abdul Karim, produk pelancongan itu bukan hanya mampu menarik lebih ramai pelancong ke Sarawak untuk pertumbuhan ekonomi tetapi mempercepatkan pelaksanaan strategi Sarawak melestarikan alam sekitar, memelihara warisan budaya dan membina masyarakat inklusif.

Beliau menzahirkan rasa gembira kerana Presiden ICOMOS iaitu badan penasihat kepada UNESCO, Fergus Maclaren dan Pengarah Eksekutif Persatuan Ekopelancongan Antarabangsa, Jon Bruno turut menghadiri persidangan itu.

Kehadiran mereka, katanya, menunjukkan usaha bersama untuk mencari jalan memelihara wairsan budaya dan memulihara alam sekitar Sarawak.

Potensi pelancongan untuk menyumbang kepada keamanan adalah penting, katanya dan menegaskan, ia memerlukan penerokaan dan kesepaduan penuh dalam mentransformasi masyarakat yang lebih luas.

Sektor pelancongan bergantung kepada ekonomi dan masyarakat dinamik, menyokong demokrasi melalui rakan strategik dan tanggungjawab sosial, tegas beliau.

Abdul Karim berkata, selain itu, pelancongan juga memerlukan inovasi dan keusahawanan, menawar peluang kepada golongan muda yang berinovatif.

Memberi sokongan kepada projek keusahawanan dalam bidang pelancongan memupuk pembangunan mampan dan strategi membina keamanan secara inovatif.

Beliau menzahirkan penghargaan kepada Pengarah Pelancongan UN di Asia Pasifik, Harry Hwang yang menyertai persidangan itu dan kehadiran dan sokongan beliau adalah bukti perkongsian strategik Pelancongan UN dan Sarawak dalam membangunkan sektor pel;ancongan untuk keamanan dan masyarakat inklusif.

Hadir sama Timbalan Menteri Pelancongan, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, Ketua Institut Pelancongan Kebangsaan, Kementerian Pelancongan Kamboja, Poch Voleark, Pengarah Rakan Pelancongan Bertanggungjawab United Kingdom, Harold Goodwin dan Pengarah Village Ways, India, Manisha Pande.