KOTA SAMARAHAN: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dijangka mengumumkan jumlah insentif untuk penyumbang pingat emas Sarawak di Sukan Malaysia (SUKMA) Ke-21 pada Jumaat ini.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, Premier Sarawak akan mengumumkan mengenai perkara itu semasa lawatan beliau ke venue acara taekwondo di Stadium Perpaduan Petra Jaya, Kuching.
Beliau memberi bayangan bahawa jumlah insentif yang akan diumumkan itu pasti lumayan dan menarik kepada para atlet.
“Saya berani katakan cukup lumayan sekali. Semestinya jumlah yang diberikan oleh kerajaan Sarawak akan mengatasi jumlah besar yang telah diumumkan oleh negeri lain.”
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Perkampungan Sukan Malaysia (SUKMA) Ke-21 Sarawak 2024 di Dewan DeTar Putra Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) di Kota Samarahan hari ini.
Untuk rekod, kerajaan Sarawak telah memberikan insentif sebanyak RM3000 kepada pemenang pingat emas dari Bumi Kenyalang pada edisi SUKMA lalu.
Namun pada tahun ini katanya, penambahan kadar insentif layak dipertimbangkan bagi meningkatkan lagi semangat para atlet untuk berentap di temasya sukan berprestij tersebut memandangkan Sarawak sebagai tuan rumah.
Terdahulu dalam ucapan perasmian, Abdul Karim memberitahu, terdapat 33 buah perkampungan sukan dan penginapan telah disediakan pada edisi kali ini, merangkumi lokasi di universiti, institut pengajian tinggi serta hotel di sembilan bahagian di Sarawak.
Jelasnya lanjut, sebahagian besar pegawai teknikal dan atlet akan berkampung di UNIMAS dari 14 hingga 26 Ogos ini.
Kemuncak majlis menyaksikan simbolik menaikkan bendera diiringi lagu rasmi negara, negeri dan wilayah masing-masing di samping penyampaian cenderahati berbentuk pedang Iban kepada ketua-ketua kontinjen SUKMA 2024.
Hadir sama ialah Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Datuk Dr. Ripin Lamat, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) merangkap Ketua Pegawai Eksekutif SUKMA 2024 Datu Hii Chang Kee serta Timbalan Ketua Pengarah Pengurusan Majlis Sukan Negara Ariffin Mohd Ghani.
Tamat
