Sarawak rancang hidupkan semula Sukan Borneo

KUCHING: Sarawak merancang menghidupkan semula Sukan Borneo selepas kali terakhir dianjurkan pada 2015 di Kalimantan Timur, Indonesia.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, beliau akan mengusulkan perkara tersebut kepada Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Hannah Yeoh Tseow Suan.

Katanya, Sukan Borneo menjadi medan terbaik buat atlet Sarawak dan negara mengasah kemahiran bersaing di pentas bertaraf antarabangsa.

Sukan dwitahunan itu dilihat sebagai platform terbaik dalam mengukuhkan hubungan Malaysia dengan negara-negara jiran dalam Kepulauan Borneo iaitu Brunei Darussalam dan Kalimantan, Indonesia, katanya.

“InsyaAllah, saya akan mengusulkan idea ini kepada rakan-rakan kita. Dan saya yakin ini adalah platform untuk kita melatih atlet sukan ke persada antarabangsa.

“Kita akan berbincang dengan rakan-rakan negara lain samada kita boleh menganjurkan Sukan Borneo,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Makan Malam SUKMA XXI 2024 di Pusat Persidangan Borneo Kuching (BCCK), di sini, malam tadi.

Abang Johari menambah Sarawak sedia menaja sepenuhnya penganjuran Sukan Borneo kali ini sekiranya diberi hak sebagai tuan rumah.

Terdahulu, beliau berkata Sarawak juga bersiap sedia untuk menjadi tuan rumah bersama penganjuran Sukan Asia Tenggara (SEA) pada 2027.

Untuk itu katanya, Sarawak sedia menyumbang dana penganjuran demi pembangunan sukan negara.

Katanya, sumbangan itu juga menyatupadukan rakyat di negara ini hingga ke negara jiran lain.

“Dengan itu, tidak ada selisih faham di antara kita,” katanya.