TYT berjumpa dengan pasukan SAR tragedi bot karam Sungai Batang Kayan

KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengadakan perjumpaan dengan pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) tragedi bot karam di Sungai Batang Kayan di sini, semalam.

Perjumpaan itu bagi mengetahui perkembangan kejadian dan mendapatkan penjelasan berhubung insiden bot tambang karam yang berlaku awal pagi 20 Ogos lalu. Kejadian itu melibatkan 20 mangsa terdiri daripada 15 pelajar SMK Senibong dan seorang pelajar SMK Lundu, tiga orang awam dan seorang lagi jurumudi bot.

Tun Pehin Sri dan isteri, Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi berdoa agar urusan operasi dan menyelamat dipermudah.

Pertemuan yang diketuai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar Billy Sujang itu berlangsung di Kasuma Resort pada jam 2.30 petang.

Turut hadir ialah Residen Bahagian Kuching Dayang Juanita Azizah Abang Morsidi, Pegawai Daerah Lundu, Awang Yusuf Awang Mostapha dan Timbalan Pegawai Daerah Lundu Zulkifli Morsidi.

Hadir bersama Ketua Polis Pejabat Daerah Lundu, Damataries Lautin, Ketua Cawangan Khas Pejabat Polis Daerah Lundu Inspektor Romi Benet dan Pegawai Cawangan Khas Lundu Sarjan Major Unchu Belalang.

Timbalan Pengarah Bomba, Tiong Ling Sii yang memangku Pengarah Bomba Sarawak, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Sarawak, Henderi Ardimansyah dan Penguasa Bomba Daerah Lundu T Joseph Diea hadir sama.

FOTO ASTANA NEGERI SARAWAK