KUCHING: Sarawak sebagai tuan rumah Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 berharap dapat menerapkan konsep sukan untuk masyarakat melalui temasya sukan itu.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, ini perlu dilihat dari prespektif menjadikan sukan sebagai medium penyatuan rakyat.
Beliau berkata, ini kerana penyertaan SUKMA 2024 dari segenap lapisan masyarakat bukan sahaja mampu mengeratkan hubungan silaturahim sesama anak negeri.
“Tapi pada masa sama, menerapkan kesalinghubungan antara negeri-negeri dan wilayah-wilayah yang ada dalam persekutuan Malaysia,”katanya.
Beliau berkata demikian di Majlis Makan Malam SUKMA XXI 2024 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, malam tadi.
Majlis itu turut dihadiri Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Abdul Karim berkata, sebagai tuan rumah, Sarawak juga amat berharap pembangunan sukan seharusnya bersifat holistik dalam memberi ruang dan peluang bagi mengalakkan rakyat dari semua lapisan masyarakat dari segenap pelusok kawasan untuk mengambil bahagian.
Katanya, ini bagi mencungkil dan menggarap bakat baharu yang mampu memberi impak positif dalam ekosistem pembangunan sukan negara dan melahirkan lebih banyak atlet pelapis berprestasi tinggi pada masa hadapan.
