Sarawak ke separuh akhir acara regu sepak takraw wanita

BINTULU: Pasukan sepak takraw wanita Sarawak mara ke separuh akhir acara regu setelah menang perlawanan Kumpulan A pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2024, di sini, pagi tadi.

Regu wanita Sarawak, terdiri daripada Diana Ricky (apit kiri), Suzila Agnes Thomas (apit kanan), dan Vanessa Emelda Austin (tekong).

Mereka dalam perlawanan itu menewaskan pasukan Perak yang dibarisi Fariesha Nur Dania Ahmad Hamri, Noratikah Ahmad, dan Putri Nurleesya Fatihah Nor Azli dengan keputusan 2-0.

Penolong Jurulatih Sepak Takraw Wanita Sarawak, Mohamad Fathan Akhbar Raduan berpuas hati pencapaian mereka kerana sasaran utama adalah untuk mara ke separuh akhir dan tidak menumpukan pada pingat.

Fathan berharap agar pemain terus mengekalkan momentum dan semangat juang yang tinggi dalam perlawanan menentang Selangor esok untuk merebut peluang ke perlawanan akhir.