Projek naik taraf loji rawatan air Daro bakal tangani masalah tekanan air rendah

DARO: Projek naik taraf loji rawatan air Daro di Sungai Tebu sedang dilaksanakan dan dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh enam bulan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Safiee Ahmad berkata, projek itu merupakan komitmen Kerajaan Sarawak menyelesaikan masalah tekanan air rendah dan bekalan air yang tidak mencukupi di Daro.

“Apabila siap kelak, ia mampu menghasilkan empat juta liter per hari (MLD) untuk kegunaan penduduk,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Penangguhan Pesta Daro 2024 di tapak pekan baharu Daro, di sini, baru-baru ini.

Selain itu, Safiee berkata Pesta Daro 2024 berjaya menarik orang luar ke daerah itu dengan sebanyak RM700,000 transaksi jual beli direkodkan sepanjang pesta berlangsung.

“Pesta ini pasti memberi manfaat kepada peniaga tempatan,” ujarnya.

Hadir sama Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi dan Ahli Parlimen Tanjung Manis Yusuf Abdul Wahab.