Perarakan perahu berhias serikan Hari Kebangsaan

SIMANGGANG: Perarakan 40 perahu berhias yang menyelusuri Sungai Batang Lupar di sini memeriah dan menyerikan sambutan Hari Kebangsaan peringkat Bahagian Sri Aman semalam.

Jurucakap jawatankuasa penganjur berkata, kemeriahan sambutan Hari Kebangsaan di sini tahun ini lebih menyerlah berbanding disertai 35 perahu pada tahun lalu.

Malah sambutan kali ini, katanya, turut menyaksikan penyertaan daripada Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Lemanak Kampung Tengah dan PNK Ladong Kampung Hilir Simanggang.

Katanya, perarakan sejauh 5 kilometer (km) itu bermula dari Dermaga Komersial Pasir Panas sehingga ke Kampung Tanjung Engkabang dan berakhir di Tebingan Sri Aman untuk penyerahan jalur gemilang kepada Residen Bahagian Sri Aman, Mahra Salleh.

Mahra yang berucap pada majlis itu berkata, sokongan padu masyarakat berbilang kaum di Bahagian Sri Aman amat diperlukan untuk bersama-sama membangunkan bahagian terbabit.

“Kita dapat lihat pada sambutan kali ini, semua kaum di Bahagian Sri Aman dan juga agensi kerajaan serta ketua kaum dan ketua masyarakat (KMKK) yang bersama-sama dengan kita, sealiran dengan kita untuk menjayakan program ini.

“Inilah satu inspirasi saya sebagai Residen Bahagian Sri Aman untuk melihat semua kaum tidak kira Iban, Cina atau Melayu hidup bersatu padu dan menjayakan apa jua program secara bersama-sama,” katanya.