Sri Aman tuan rumah sambutan Hari Malaysia, pelbagai acara menarik disusun

SRI AMAN: Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi akan hadir ke Majlis Perhimpunan Hari Malaysia Peringkat Sarawak di Stadium Tertutup Kompleks Sukan di sini, pada 16 September depan.

Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan isteri, Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang dan anggota kabinet juga akan hadir sama.

Roland yang juga menteri bertanggungjawab sambutan Hari Malaysia peringkat Sarawak 2024 berkata, sambutan yang berpusat di Sri Aman tahun ini bermula dengan Majlis Kesyukuran Agama-agama Lain pada 14 September di Dewan Suarah Sri Aman.

Pada jam 8 malam hari sama, Konsert Cinta Malaysia, Segulai Sejalai menampilkan artis tanahair: Baby Shima, Ramlah Ram akan diadakan di Tebingan Sungai Sri Aman, katanya pada sidang media di sini.

Beliau berkata, konsert itu akan disertai dengan persembahan bunga api yang juga merupakan salah satu tarikan di penghujungnya.

Pada 15 September pula katanya, satu lagi majlis kesyukuran akan diadakan di Masjid Bandar Sri Aman yang dijangka disertai oleh 1,000 orang.

MSS selaku agensi peneraju bagi konsert rakyat telah menyusun pelbagai persembahan merangkumi prapersembahan daripada Sri Aman Busker, D’Jaksa Band manakala kumpulan kebudayaan jemputan Anak Seni Benak akan mempersembahkan tarian kepelbagaian etnik yang melibatkan komuniti seni sekitar yang menunjukkan kekayaan dan keunikan budaya di Malaysia, katanya.

Konsert rakyat itu, katanya, akan diserikan lagi oleh artis jemputan iaitu Hafiz Suip serta persembahan daripada artis tempatan yang mewakili pelbagai etnik seperti Ricky El, Karen Libau, Roxy Ixzy, Eddie Kuwing, Harris Mukhriz dan Raquel Then Xi Ya.

Sambutan Hari Malaysia bukan sahaja memperingati peristiwa penting dalam sejarah negara, tetapi juga memperkukuhkan semangat kebersamaan dan identiti nasional dalam kalangan rakyat Malaysia, tegas beliau.