SIMANGGANG: Program Budaya, Sahsiah, dan Terampil bersama ikon tinju Daeloniel Mcdelon Bong atau Kilat Boy diadakan di Dewan Seri Lemanak, di sini, hari ini.
Program ini sebahagian inisiatif Belia Unggul, Komuniti Utuh dan Teguh (BUKUT) yang bertujuan memperkukuhkan sahsiah, minat dan kemahiran belia, khususnya dalam arena sukan tinju.
Residen Bahagian Sri Aman, Mahra Salleh berkata, sukan tinju tidak hanya membina kekuatan fizikal, tetapi juga membina minda yang fokus, disiplin dan semangat juang yang tinggi.
“Saya berharap agar lebih ramai belia di Sri Aman dapat memanfaatkan peluang ini untuk memupuk minat dalam sukan tinju,” katanya.
Sementara itu, Daeloniel McDelon Bong berkata, para atlet sukan tinju perlu mempunyai mentaliti yang kuat dan terus berusaha walau sesukar mana sekalipun cabaran mendatang.
“Saya bermula dari seorang atlet muda yang penuh impian hingga menjadi juara negara, disiplin yang ketat dalam latihan, pengorbanan peribadi, dan kesungguhan untuk tidak pernah berputus asa walaupun menghadapi pelbagai rintangan,” katanya.