KUCHING: Penganjuran Para SUKMA XXI 2024 akan memberikan kepakaran kepada Sarawak menganjurkan temasya Sukan Asia Tenggara (SEA) 2027.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ini juga menyediakan peluang kepada Sarawak membuat persiapan menjadi penganjur bersama temasya sukan terbabit pada 2027.
“Apabila kita sudah mempunyai kepakaran, maka ini peluang untuk kita mempersiapkan diri ke arah menjadi hos bersama penganjuran Sukan SEA 2027,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Perasmian Para SUKMA XXI Sarawak 2024 di Stadium Perpaduan, Petra Jaya, di sini, malam tadi.
Hadir sama, Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri, Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah, Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato’ Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan tetamu kenamaan lain.
Abang Johari berkata, beliau yakin fasiliti sukan dan pengangkutan seperti basRapidKL, gelanggang pertandingan serta kemudahan lojistik telah disediakan untuk memudahkan pergerakan atlet para berkerusi roda pada Para SUKMA XXI Sarawak 2024.
Sehubungan itu, beliau mahu semua atlet para yang bertanding menjadikan temasya itu sebagai peluang mengasah kemahiran dan memupuk semangat kesukanan serta perpaduan mereka.
“Bertandinglah dengan penuh semangat kesukanan yang tinggi dan ingatlah bahawa setiap langkah yang anda ambil, setiap usaha yang anda curahkan adalah lambang kepada semangat juang dan temasya ini,” tambahnya.