KOTA SAMARAHAN: Pelajar Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) mengadakan Program Tanggungjawab Sosial Universiti (USR) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Samarahan, di sini, hari ini.
Program itu mendedahkan pelajar sekolah kepada kemahiran teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) terkini yang membolehkan mereka belajar dan menggunakan teknologi moden bidang ICT.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berkata, melalui program ini juga infrastruktur ICT di sekolah dinaik taraf termasuk penukaran komponen komputer dan peningkatan kelajuan internet.
“Ini memberi akses kepada teknologi yang lebih pantas dan moden untuk pelajar dan guru, sekali gus memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Samarahan berkata demikian ketika menghadiri program terbabit di SMK Kota Samarahan, di sini, hari ini.
Rubiah berkata, ini membolehkan pelajar sekolah itu akan lebih bersedia untuk menghadapi cabaran masa depan yang semakin memerlukan literasi digital yang tinggi di samping memperkukuh hubungan antara universiti dan komuniti.