Jalan Samaram–Kapit perlu dibina di Kapit

KAPIT: Kerajaan Sarawak dan Persekutuan diminta mempertimbangkan pembinaan jalan dari Samaram–Kapit sejauh 72 kilometer (KM) di sini.

Menteri Kerja Raya merangkap Ahli Parlimen Kapit, Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, ini kerana kemudahan infrastruktur awam perlu ditingkatkan bagi memastikan usaha perancangan mewujudkan empangan melata di beberapa sungai di Kapit
berjalan lancar.

“Atas dasar itu, besar hajat kami sekiranya Perdana Menteri dan Premier dapat mempertimbangkan pembinaan jalan dari Samaram – Kapit sejauh 72KM,”katanya.

Beliau berkata demikian sempena lawatan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim ke Bahagian Kapit yang juga dihadiri Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Dewan Suarah Kapit, di sini, hari ini.

Alexander berkata, pembinaan jalan ini juga sekaligus akan dapat mengatasi kesesakan lalu-lintas di Kapit.

Beliau berharap di majlis itu mungkin Premier Sarawak boleh menjelaskan bagaimana rakyat di lokasi empangan melata dapat meraih secara langsung keuntungan bersama dari projek itu.

“Agak lebih baik jika rakyat diberi peluang mendapat keuntungan dalam ringgit dan sen daripada projek sedemikian yang dibina di depan pintu mereka,” tambahnya.