Projek penempatan Sungai Bedaun siap, sediakan 209 rumah mampu milik

KUCHING: Impian keluarga tambahan dari tiga kampung di sini untuk memiliki rumah sendiri akan menjadi kenyataan tidak lama lagi.

Keluarga berkenaan dari Kampung Panglima Seman Lama, Kampung Semarang dan Kampung Pulo Ulu.

Ia selepas projek (pakej 1) Projek Penempatan Sungai Bedaun yang mempunyai 209 unit rumah sesebuah terdiri daripada empat jenis siap sepenuhnya. Keluarga berkenaan mula berpindah pada April ini.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, projek yang merupakan sebahagian daripada Projek Pembangunan Darul Hana itu bertujuan memberikan tempat kediaman kepada keluarga tambahan dari ketiga-tiga kampung terbabit.

Menurut beliau, sebanyak 217 unit lagi rumah akan dibangunkan bagi fasa kedua.

“Sebanyak 126 keluarga akan pindah dulu. Mereka akan pindah berfasa-fasa mengikut tahap pembangunan perumahan di kedua-dua kawasan ini.

“Harga rumah kalau areanya 750 kaki persegi, harganya ialah RM99,500. Rumah yang mempunyai kawasan 850 kaki persegi, harganya RM120,000,” katanya dalam sidang media selepas mengadakan lawatan ke Skim Perumahan Sungai Bedaun hari ini.

Menurutnya, pembeli akan diberi deposit dari Kerajaan Sarawak sebanyak RM10,000 manakala baki pembiayaan boleh melalui pinjaman Mutiara Mortgage.

Sementara itu, Abang Johari memberitahu Sarawak juga bercadang untuk menubuhkan Dana Amanah pada tahun ini bagi membangunkan rumah mampu milik.

Katanya, kerajaan sedang giat mempertimbangkan peraturan baharu khas kepada pemaju perumahan untuk membayar ‘payment indue’ kepada pihak kerajaan.

“Pemaju rumah tidak perlu lagi membina 30 peratus rumah di tanah mereka sebagai rumah mampu milik sebaliknya wang tersebut akan disalurkan ke dalam dana perumahan.

“Duit yang disalurkan ke dalam dana ini akan digunakan oleh Kerajaan Sarawak untuk membangunkan rumah mampu milik yang berkualiti kepada rakyat Sarawak,” jelasnya.

Menurut beliau, keputusan ini dibuat ekoran ada sesetengah pemaju perumahan yang tidak jujur dalam memajukan tanah perumahan sehingga mendatangkan masalah seperti kerugian dan projek terbengkalai.

Hadir sama Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Pengarah Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) Mohamed Khaidir Abang, Pengarah Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Sarawak Datu Abdullah Julaihi.