Sarawak dapat peruntukan pembangunan RM5.9 bilion

KUALA LUMPUR: Kerajaan memberikan peruntukan pembangunan kepada Sarawak sebanyak RM5.9 bilion dalam Belanjawan 2025.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan menunaikan kesepakatan pemimpin terdahulu terkait Perjanjian Malaysia 1963.

Katanya, ini juga kerana jurang pembangunan antara negeri perlu dirapatkan khususnya melibatkan prasarana asas seperti jalan raya, elektrik dan air bersih.

“Oleh itu, peruntukan pembangunan Sabah dan Sarawak terus diberi keutamaan dan adalah yang tertinggi antara negeri iaitu masing-masing RM6.7 bilion dan RM5.9 bilion,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2025 di Parlimen di sini, hari ini.

Di samping itu, Anwar berkata Kerajaan bercadang menaikkan kadar Pemberian Khas Sarawak dan Sabah sekali ganda lagi kepada RM600 juta mulai 2025.

“Pemberian Khas Sarawak tidak pernah dikaji sejak 1969. Di bawah MADANI, tahun ini kita telah menaikkan kadar kepada RM300 juta ketimbang RM16 juta (Sarawak) dan RM125.6 juta (Sabah),” katanya.