KUCHING: Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) diharap terus mengukuhkan semangat kejiranan dalam kalangan penduduk bandar raya ini.
Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Utiliti), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, ini melalui pelbagai program komuniti dengan penduduk terbabit.
“Harapan saya, semangat kejiranan yang wujud di sini akan terus dipupuk dan diperkukuhkan melalui pelbagai aktiviti yang dilaksanakan terutamanya program komuniti seperti Karnival Kejiranan Mesra (KJM) ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa majlis penutupan Karnival Kejiranan Mesra DBKU di Padang Merdeka, di sini, hari ini.
Hadir sama Datuk Bandar DBKU, Dato Hilmy Othman.
Dr Abdul Rahman berkata, tujuan utama karnival ini untuk mengukuhkan hubungan kejiranan dan membina rasa tanggungjawab bersama dalam kalangan penduduk.
Antara aktiviti sepanjang karnival termasuklah kejohanan badminton, futsal, sepak takraw, silat, pertandingan sukan rakyat, pertandingan catur, sukaneka dan banyak lagi.
