Perahu karam: Salah seorang mangsa dikebumi di Balingian

KUCHING: Suasana pilu dan hiba menyelubungi perkarangan Jabatan Perubatan Forensik Hospital Umum Sarawak (HUS) sebaik sahaja kelima-lima mangsa tragedi perahu karam dibawa untuk proses bedah siasat.

Kesemua mangsa dijumpai awal pagi tadi.

Ahli keluarga tidak dapat menahan sebak sambil berpelukan ketika menunggu proses dijalankan.

Tunang kepada salah seorang mangsa Majurie Maharuf,32, iaitu Norainaa Arbi berkata, jenazah Majurie dibawa balik ke Balingian, Mukah untuk dikebumikan.

Selain Majurie, empat lagi mangsa perahu keram pada 18 Oktober lalu ialah Mohammad Ikhmal Sama’ail (34), Mohd Afiq Isyamudin Asaari (26), Mohamad Khairul Bidin (26) dan Muhammad Khairul Hisham Kasturi (23).