KUALA LUMPUR: Lan Berambeh Anak Sarawak (LBAS) 2024 Ke-15 melabuh tirai di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini, dengan acara kemuncak Majlis Makan Malam Anak Sarawak, malam tadi.
Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi serta Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Sri Fadillah Yusof serta isteri Datin Sri Ruziah Mohd Tahir.
Yang turut hadir, menteri-menteri kabinet negeri dan persekutuan serta ahli-ahli parlimen.
Lebih 60 pempamer terdiri daripada agensi kerajaan dan swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta usahawan menyertai pameran Sarawak Dreams Pavillion dan Sarawak Products Pravillion.
Antara jualannya ialah makanan seperi laksa Sarawak, ais krim gula apong, mi kolok, sambal garing ikan terubuk, kuih-muih, kek lapis dan pelbagai makanan lain.
Agensi pempamer lain ialah Petros, GPS, Yayasan Sarawak, Shell, Petronas, Sarawak Volunteers, UKAS serta agensi kerajaan lain.
Sementara itu, Abang Johari dalam ucapan majlis makan malam tadi memberitahu Sarawak bakal mempunyai syarikat penerbangan sendiri yang dijangka beroperasi selewat-lewatnya pada tahun depan.
Katanya, dengan memiliki penerbangan sendiri akan memudahkan untuk membawa pulang anak-anak Sarawak dengan kadar harga berpatutan.
“Selain anak-anak Sarawak, kita juga membawa masuk pelancong luar berkunjung ke negeri ini.
“Untuk merealisasikannya, kita berkehendakkan tenaga kerja mahir daripada anak-anak semua,” katanya.
Selain kejayaan itu, Abang Johari turut mendedahkan bahawa pelabuhan Bintulu sudah dimiliki Sarawak.
“Pelabuhan Bintulu sudah ada dalam tangan kita (Sarawak) dan tahun depan kita ada belon (kapal terbang) kedirik (sendiri) untuk membawa pulang anak-anak Sarawak,” tambahnya.
Beliau menambah, kejayaan yang dicapai Sarawak itu berkat kestabilan, perpaduan dan keharmoniam kaum rakyat dan negeri ini.
“Perpaduan menjadi tonggak utama untuk bergerak ke hadapan dan dalam konteks ini, kita (rakyat) saling bekerjasama untuk membawa Sarawak terus maju dan membangun,” katanya.
Pada tahun ini, lebih 600 anak- anak Sarawak yang berada di sekitar Semenanjung Malaysia menghadiri LBAS.
Untuk rekod, LBAS merupakan acara tahunan Sarawak Volunteers (sebelum ini dikelolakan Persatuan Anak Sarawak Semenanjung) sejak tahun 2008.
Program yang bermula secara kecil-kecilan bagi mengumpul anak Sarawak yang tinggal di
Semenanjung (Lembah Klang khususnya) kini berkembang menjadi salah satu acara utama
yang dinanti-nantikan oleh anak-anak Sarawak.
Ia menjadi wadah bagi anak-anak Sarawak bertemu dengan pimpinan utama Kerajaan Sarawak dan berpeluang untuk mengetahui polisi dan inisiatif Kerajaan dalam usaha membangunkan dan memajukan Sarawak menerusi sesi townhall bersama Premier Sarawak.
