KUALA LUMPUR: Sarawak berjaya memperkukuhkan kedudukannya bukan sahaja di dalam negara malah di mata dunia berkat kepimpinan hebat Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Menteri Perpaduan Negara, Dato Sri Aaron Ago Dagang berkata, semua kejayaan besar yang telah dicapai oleh Sarawak kerana kestabilan politik, perpaduan dan keharmonian kaum.
”Kerana kestabilan politik dan perpaduan yang menjadi asas kekuatan kita di Sarawak jugalah maka kita telah mencatat kejayaan demi kejayaan dalam menuntut hak-hak Sarawak, seterusnya berjaya membina ekonomi Sarawak yang lebih ampuh,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan alu-aluan semasa majlis Makan Malam Anak Sarawak sempena Lan Berambeh Anak Sarawak (LBAS) 2024 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini, malam tadi.
Aaron yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penganjur LBAS 2024 berkata, Lan Berambeh merupakan simbol kebersamaan, keharmonian, dan kasih sayang sesama anak-anak Sarawak.
Jelasnya, menerusi acara kemuncak LBAS iaitu sesi townhall bersama Premier Sarawak itu berjaya mengupas dan memberikan respon kepada setiap isu yang dibangkitkan oleh anak-anak Sarawak di Semenanjung.
Majlis itu turut dihadiri Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Timbalan Perdana Menteri, Dato Sri Fadillah Yusof serta isteri, Datin Sri Ruziah Mohd Tahir serta menteri- menteri kabinet negeri dan persekutuan serta ahli-ahli parlimen.
