Belanjawan 2025: Peruntukan RM5.9 bilion akan bantu pembangunan sektor penting Sarawak

KUALA LUMPUR: Peruntukan pembangunan sebanyak RM5.9 bilion kepada Sarawak dalam Belanjawan 2025 Kerajaan Persekutuan akan membantu pembangunan sektor penting negeri ini.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, walaupun peruntukan pembangunan kepada Sarawak dalam belanjawan itu kurang jumlahnya berbanding yang diberikan kepada Sabah.

“Tidak apa, sekurang-kurangnya kita ada bantuan daripada Kerajaan Persekutuan dalam usaha kita membangunkan sektor yang penting di Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas sesi Sarawak Agenda Townhall Bersama YAB Premier Sarawak Lan Berambeh Anak Sarawak (LBAS) 2024 di sini, hari ini.

Abang Johari juga berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan kerana menambah peruntukan khas kepada Sarawak dan Sabah dari RM300 juta kepada RM600 juta dalam belanjawan itu.

“Peruntukan tersebut untuk pendidikan (di Sarawak),” katanya.

LBAS 2024 dihadiri Timbalan Perdana Menteri Dato’ Sri Fadillah Yusof, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian serta menteri-menteri kabinet negeri dan persekutuan termasuk ahli-ahli parlimen.

LBAS 2024 dikelolakan Sarawak Volunteers dan mendapat sokongan penuh dari Kerajaan Sarawak.