Jawatankuasa Pilihan Khas bincang semakan undang-undang komprehensif

KUCHING: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menerima kunjungan hormat daripada Jawatankuasa Pilihan Khas Senat mengenai Semakan Undang-Undang di pejabatnya di Wisma Bapa Malaysia (WBM) hari ini.

Delegasi yang diketuai Presiden Senat, Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah berbincang dengan Kerajaan Sarawak, Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Persatuan Peguam Sarawak untuk meneruskan usaha ke arah memodenkan perundangan dan memastikan pematuhan kepada piawaian perlembagaan.

Menurut Awang Bemee, jawatankuasa itu diberi mandat untuk menyelaraskan undang-undang negeri dan persekutuan dengan prinsip perlembagaan, menangani isu-isu undang-undang yang merangkumi Senarai Persekutuan, Senarai Negeri, Senarai Bersama dan hak unik Sarawak.

“Misi Jawatankuasa untuk mengkaji undang-undang secara kritikal, memastikan bahawa perkara-perkara perlembagaan dan kedaulatan undang-undang dijunjung,” ujarnya semasa ditemui media selepas kunjungan tersebut.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Senat mengenai Semakan Undang-Undang, Senator Rita Sarimah Patrick Insol menyoroti usaha berterusan untuk meneliti undang-undang yang kurang relevan, terutamanya undang-undang yang digubal sebagai akta persekutuan terpakai khusus untuk Sabah dan Sarawak.

Jelas beliau, kerjasama dengan badan-badan Kerajaan Sarawak dan Sabah, serta institusi undang-undang seperti Persatuan Peguam Sarawak dan Persatuan Undang-Undang Sabah adalah penting dalam mengenal pasti undang-undang yang mungkin memerlukan pengemaskinian.

“Kami mencari kerjasama yang kukuh antara kedua-dua kerajaan dan jawatankuasa ini untuk mengenal pasti undang-undang lama yang memerlukan reformasi.

“Adalah penting mendekati semakan ini dengan teliti untuk mengelakkan pelanggaran perlembagaan, sambil menghormati peruntukan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” tambahnya lagi.