Jambatan Kampung Matang akan dibina semula

KUCHING: Jambatan Kampung Matang di Batu 9 yang sebelumnya roboh ekoran arus deras dari kawasan tadahan air akan dibina semula pada tahun ini.

Ia akan dilaksana setelah selesai proses reka bentuk dan pemberian tender oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak.

Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Ir Aidel Lariwoo memberitahu, keputusan ini dibuat setelah menerima aduan daripada penduduk kampung yang mengalami masalah perhubungan.

Susulan itu, beliau memaklumkan bahawa Kerajaan Sarawak melalui Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak (MIPD) dan JKR Sarawak menganggarkan kos sebanyak RM730,000 diperlukan untuk membina baharu jambatan tersebut.

“Buat masa ini, JKR akan melakukan sedikit reka bentuk dan setelah siap proses tersebut, mereka akan membuka tender untuk membina jambatan ini.

“Anggaran kos yang kita telah persetujui bersama JKR Sarawak adalah sebanyak RM730,000 yang telahpun diluluskan untuk membina jambatan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika selepas mengetuai rombongan MIPD mengadakan lawatan ke Projek Lorong 2 Matang Batu 9 di sini hari ini.

Menurut beliau, cadangan untuk membina semula jambatan ini telah diusahakan sejak terlibat dalam bencana tersebut namun masih tidak mendapatkan kelulusan dana.

Mengulas mengenai perkembangan projek Jalan Matang Baru, beliau memberitahu setakat ini projek tersebut menunjukkan perkembangan yang positif dan mengikut jadual meskipun terpaksa berdepan dengan masalah seperti pengalihan semula utiliti air, elektrik dan telekomunikasi.

Turut serta dalam lawatan tersebut ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong, Dato Fazzrudin Abdul Rahman dan Penghulu Matang Batu 10, Wan Julihi Wan Ajoli.