Kembalikan 35 peratus kerusi Parlimen kepada Sarawak, Sabah

KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan perlu mengembalikan kuota satu pertiga daripada keseluruhan bilangan kerusi Parlimen kepada Sarawak dan Sabah.

Ahli Parlimen Tanjong Manis, Yusuf Abdul Wahab berkata, beliau menyokong penuh gesaan tersebut daripada Premier Sarawak baru-baru ini.

“Ini adalah untuk mengelak Parlimen meminda Perlembagaan Malaysia yang akan menjejaskan kepentingan Sarawak dan juga Sabah,” katanya ketika membahas Belanjawan 2025 semasa sidang Parlimen di sini, hari ini.

Yusuf berkata, ketika pembentukan Malaysia pada 1963, gabungan kerusi daripada Singapura, Sarawak dan Sabah adalah melebihi satu pertiga.

Namun apabila Singapura berpisah daripada Malaysia pada tahun 1965, kerusi Parlimennya diambil oleh Semenanjung tanpa diagihkan kepada Sarawak dan Sabah.

“Kepentingan serta hak Sarawak tidak akan terjamin sekiranya kerusi kami di Parlimen adalah kurang dari satu pertiga,” katanya.

Sehubungan itu, sebagai wakil rakyat dari Sarawak, beliau menuntut supaya Kerajaan segera meminda Akta SPR supaya dikembalikan 35 peratus kerusi Parlimen kepada Sarawak dan Sabah.

“Saya percaya dan penuh yakin, di atas Semangat Madani dalam Kerajaan Perpaduan ini, Pindaan Akta SPR tersebut akan berjaya mendapat sokongan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat,” tambahnya.