AirAsia lancar tambang rendah tetap sempena musim perayaan

KUCHING: Jumlah penumpang Airasia dari Semenanjung ke Sarawak bagi 2023 sangat baik dan dijangka kekal pada tahun ini.

Wakil Pegawai Perhubungan Airasia di Sarawak, Hamdan Mohammad berkata, bagaimanapun jumlah penumpang bagi laluan Singapura-Miri dan Sibu tidak memberangsangkan.

Justeru, Airasia dalam proses tidak meneruskan laluan itu pada Februari tahun ini disebabkan menanggung kerugian berterusan, katanya dalam taklimat kepada Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin.

Hamdan ditemani penolongnya, Allaister Vyner Teoh dan rombongan dari Malaysia Airports Holding Berhad (MAHB) mengadakan kunjungan hormat ke atas Dato Sri Lee di pejabatnya, Bangunan Baitul Makmur 1, Petra Jaya di sini semalam.

Hamdan menegaskan, untuk penerbangan tambahan pada musim perayaan akan datang, Airasia memperkenalkan tambang tetap RM298 sehala dari Kuala Lumpur ke Miri, Sibu, Bintulu dan Kuching dan dari Johor Bahru ke Sibu, Miri dan Kuching dijadual pada 5 hingga 15 Februari ini.

Beliau berkata, pada tarikh tertentu hanya satu penerbangan disediakan iaitu penerbangan tengah malam atau penerabngan lewat.

Inisiatif menetapkan tambang rendah adalah sejajar dengan program FLYsiswa kerajaan dengan menyediakan subsidi RM300 membeli tiket penerbangan untuk pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT).

“Skim subsidi tambang bersasar RM599 untuk pembelian tiket penerbangan ekonomi sehala ke Sarawak dan Sabah seperti diumumkan tahun lalu,” katanya.