Anak Parlimen Santubong dapat bantuan pendidikan

KUCHING: Seramai 258 pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang merupakan anak Parlimen Santubong menerima peruntukan bantuan pendidikan berjumlah RM69,100 tahun ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat merangkap Ahli Parlimen Santubong, Dato Sri Nancy Shukri berkata, bantuan itu sebanyak RM300 seorang untuk pelajar belajar dalam Sarawak manakala RM500 bagi mereka belajar di luar negeri secara one-off.

Manakala, seramai 314 pelajar IPT anak Parlimen Santubong menerima bantuan terbabit berjumlah RM117, 300 tahun lalu.

“Ini adalah komitmen berterusan untuk memastikan peluang pendidikan terus diperluaskan kepada generasi muda di kawasan Santubong,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika program Hari Santubong 2024 di Dewan Komuniti Santubong di sini, hari ini.

Nancy berkata, dengan usaha ini, pembangunan di Santubong tidak hanya tertumpu kepada aspek infrastrukturtetapi juga aspek modal insan dan kesejahteraan rakyat.

Selain itu, beliau mempunyai harapan menjadikan Santubong sebagai Destinasi Pelancongan Bertaraf Dunia dengan manfaatkan keindahan alam semula jadi seperti Gunung Santubong dan tapak sejarah untuk menarik pelancong antarabangsa.

Beliau juga mahu Santubong memelihara warisan dan tradisi, meningkatkan ekonomi tempatan serta membentuk komuniti yang harmoni dan inklusif.

GAMBAR: JABATAN PENERANGAN