KUCHING: Sarawak memperkenalkan program Pembinaan Integriti Komuniti (CIB) bagi projek di bawah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), Datuk Dr Juanda Jaya berkata, di bawah program itu komuniti terlibat secara langsung sebagai pemantau pelaksanaan projek itu.
“Peranan aktif komuniti sangat penting untuk memastikan kontraktor melaksanakan tanggungjawab mereka dengan berkesan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Majlis Perasmian Taklimat Pembangunan Integriti Bersama Komuniti di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.
Juanda berkata, program ini bukan sahaja mengubah persepsi masyarakat tetapi turut memperkasa peranan mereka dalam memastikan keberkesanan pengurusan pembangunan.
Majlis tersebut turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Institut Integriti Malaysia (IIM), Rahman Mohd Din; Pengarah Unit Integriti dan Ombudsman Sarawak, Wan Mohamad Wan Drahman.
