KUCHING: Penyanyi legenda Indonesia, Hetty Koes Endang bakal memeriahkan Sambutan Tahun Baharu 2025 peringkat Sarawak yang dijadual berlangsung di Tebingan Sungai Kuching pada 31 Disember ini.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata acara yang bermula seawal jam 8 pagi itu padat dengan pelbagai aktiviti menarik, termasuk persembahan daripada artis terkenal tanah air seperti Akim & The Majistret dan Zee Avi serta pertunjukan bunga api.
“Saya difahamkan bahawa Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi akan menghadiri majlis ini.
“Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan keluarga juga akan bersama-sama menutup tahun 2024,” katanya dalam sidang media sambutan ‘Countdown 2025’ di Bangunan Masja II, Petra Jaya hari ini.
Abdul Karim turut menasihatkan orang ramai dari kawasan berhampiran seperti Samarahan, Kuching, Bau dan Lundu agar berkongsi kereta atau carpooling bagi mengurangkan kesesakan dan memudahkan urusan parkir.
“Jangan bawa kereta seorang diri atau hanya dua orang dalam satu kereta. Jika datang bersama rakan atau keluarga, gunakan carpooling. Kalau tidak, anda mungkin sukar mencari tempat letak kereta,” ujarnya lagi.
Hadir sama, Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datu Sherinna Husaini dan timbalannya, Desmond Douglas Jerukan; Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Seni Sarawak, Dayang Mariana dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sarawak, Sharzede Datu Salleh.
