TYT terima kunjungan Pertubuhan Turath Sarawak

KUCHING: Jawatankuasa Pertubuhan Turath Sarawak telah mengadakan kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri Sarawak di Astana Negeri, di sini, hari ini.

Kunjungan hormat kepada Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi itu diketuai oleh Pengerusi Pertubuhan Turath Sarawak, Khalid Khan Abdullah Khan.

Ini bagi jawatankuasa itu memperkenalkan organisasi bukan kerajaan (NGO) terbabit yang ditubuhkan Mac tahun ini bertujuan memperjuangkan dan memantapkan pemahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah di Sarawak.

“Setakat ini kita telah mengadakan perbincangan dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Sarawak untuk kerjasama strategik dalam program-program keagamaan dan kebajikan yang dianjurkan,” menurut Khalid Khan.

Turut menyertai kunjungan hormat tersebut ialah Pengarah Jabatan Mufti Sarawak Ahmad Sukarno Saini, Timbalan Pengarah Jabatan Mufti Sarawak Ustaz Wan Shaifuddin Wan Madihi, Timbalan Imam Besar Negeri Ustaz Mohamad Ihsan Haidzir, Ketua Jabatan Institut Aminuddin Baki Cawangan Sarawak Dr. Aswandi Laman, Timbalan Pengerusi Pertubuhan Turath Sarawak Ustaz Syed Alawi Mahdi Syed Mohamad.