KUCHING: Kerja-kerja pembersihan dan penebangan pokok di Padang Pasir di sini untuk menjadikan kawasan itu lebih kemas dan memudahkan kontraktor melaksanakan projek stesen Transif Aliran Autonomi (ART).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok, Dato Ibrahim Baki berkata, kontrak bagi projek itu sudah diserahkan dan kerja-kerja pembinaan akan dilaksanakan tidak lama lagi.
Ia juga bertujuan mempersiapkan kawasan tersebut agar sistem Transit Aliran Autonomi (ART)
berjalan lancar, katanya selepas mengagihkan cenderahati Krismas sempena Sambutan Hari Krismas di Thompson Corner, Jalan Nanas di sini.
Beliau berkata, pembinaan projek infrastruktur ART meliputi kawasan Padang Pasir yang terletak di bawah Garisan Biru.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg sebelum ini memaklumkan kawasan Padang Pasir Kuching bakal ditransformasikan menjadi stesen pusat utama ART di bandar raya ini.
Katanya, setelah projek ini berjaya dilaksanakan, fungsi stesen utama di Padang Pasir akan beroperasi seperti Kuala Lumpur Sentral (KL Sentral).
Sarawak Metro Sdn Bhd (Sarawak Metro) juga menyatakan projek Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS) sedang dibangunkan secara berperingkat, dengan Fasa 1 meliputi Garisan Biru, Garisan Merah, dan Garisan Hijau.
Garisan Biru akan bermula dari Rembus di Kota Samarahan ke Hikmah Exchange di Kuching; Garisan Merah dari Kuching Sentral ke Pending; dan Garisan Hijau dari Pending ke Damai.
Dengan jarak keseluruhan 70 kilometer (km), fasa satu projek KUTS dijadual memulakan perkhidmatan penumpang secara berperingkat bermula suku keempat 2025 dan dijangka siap menjelang akhir 2027.