KUCHING: Kerajaan Sarawak akan mengambil langkah kawalan bagi memastikan situasi wabak Human Metapneumovirus (HMPV) di Sarawak kekal terkawal.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian berkata, ia adalah hasil perbincangannya dengan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak (JPBS), Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Menurutnya, Sarawak memiliki ordinan tersendiri untuk menangani wabak penyakit berjangkit sambil menekankan kesiapsiagaan negeri menghadapi ancaman kesihatan global.
“Setakat ini, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) belum mengeluarkan sebarang tindakan khusus berkaitan wabak ini, tetapi kita tetap berwaspada,” katanya selepas majlis sambutan Ulang Tahun Ke-51 Persatuan Seni Bela Diri Cina di Tua Pek Kong Temple, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Dr Sim yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak menasihat orang ramai sentiasa menjaga kesihatan diri dan mengurangkan aktiviti berkumpulan sekiranya berasa tidak sihat.
Beliau turut mengingatkan masyarakat agar mengambil pengajaran daripada pengalaman wabak Covid-19 yang melanda dunia lima tahun lalu.
“Kita tidak tahu sama ada wabak ini boleh bermutasi semula. Oleh itu, langkah berjaga-jaga dan kebersihan diri amat penting untuk mengelakkan jangkitan,” tambahnya lagi.
