SPAOH: Penduduk luar bandar diingatkan agar berhati-hati apabila menerima panggilan telefon daripada orang tidak dikenali yang menawarkan cadangan pelaburan yang menjanjikan keuntungan besar sebagai balasan.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah berkata, golongan tersebut adalah golongan yang cuba untuk menipu wang simpanan penduduk kampung.
Katanya, mana-mana penduduk yang telah tertipu harus segera membuat laporan polis.
“Kita tidak boleh mudah terpengaruh dengan sebarang cadangan pelaburan atau tawaran yang menjanjikan keuntungan besar sebagai balasan.
“Saya telah diberitahu tentang kes-kes yang berlaku seperti itu, terutamanya penipuan bungkusan,” katanya berucap pada perhimpunan di rumah panjangnya di Penom hari ini.
Beliau juga berharap belia luar bandar tidak terjerumus dengan perjudian dalam talian yang boleh merosakkan moral mereka.
Beliau turut mengisytiharkan pembukaan Pusat Penyebaran Maklumat Nasional atau NADI bagi kawasannya di Bukit Saban.
Diwujudkan dengan kos kira-kira RM400,000, pusat itu merupakan projek Kementerian Komunikasi yang dilaksanakan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
Ia merupakan satu daripada empat kawasan di bawah kawasan Parlimen Betong dengan tiga lagi di Betong, Debak dan Spaoh.
Menurut Uggah lagi, pusat tersebut akan menyediakan kursus latihan berkaitan perniagaan dalam talian, e-Sukan, latihan kemahiran selain melatih penduduk membiasakan diri tentang perkara asas seperti membaca kod QR dan lain-lain.
Usai di situ, Uggah diiringi Ahli Parlimen Betong Datuk Dr Richard Rapu menyampaikan surat kelulusan kepada lebih 30 resepi projek pertanian daripada Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA).
