KUCHING: Seramai 124 kanak-kanak berumur enam tahun dari Pusat Sehenti Intervensi Awal (OSEIC) Kuching akan mengikuti Majlis Graduasi OSEIC Sarawak Februari depan.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, OSEIC menawarkan perkhidmatan program intervensi awal kanak-kanak bekeperluan khas di bawah umur enam tahun dan usaha murni Kerajaan Sarawak membantu ibu-bapa membesarkan anak-anak terbabit.
“Manakala, dari 2022 sehingga 2024, sebanyak 164 kanak-kanak (graduan) tamat dan keluar dari OSEIC Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Hi – Tea OSEIC Sarawak Kuching 2025, di sini, hari ini.
Fatimah berkata, kanak-kanak terbabit kini meneruskan pengajian mereka di tadika-tadika peringkat perdana, mahupun pusat berkeperluan khas.
Selain itu, beliau berkata jumlah pengambilan kanak–kanak di pusat OSEIC Kuching kini mencecah lebih dari 500 orang dan mereka menghadapi cabaran besar iaitu kanak-kanak dalam senarai menunggu yang tinggi.
“Setakat 30 November 2024, seramai 439 kanak-kanak sedang menunggu untuk menyertai sesi intervensi di OSEIC Kuching ini,” tambahnya.
Fatimah berkata, jumlah ini turut mencerminkan kesedaran yang tinggi dalam ibu bapa yang sangat prihatin mengenai perkembangan anak – anak mereka.
