Pembangunan tersusun manfaatkan rakyat

DARO: Masyarakat setempat digesa supaya terus memperkukuhkan kerjasama erat dan memain peranan dalam memajukan kampung.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Safiee Ahmad berkata, kerjasama erat yang terjalin akan membolehkan kerajaan merancang agenda peembangunan dengan lebih tersusun untuk manfaat rakyat.

“Masyarakat memain peranan dalam memajukan kampung dan memperkukuhkan kerjasama antara penduduk dengan kerajaan,” katanya berucap pada Majlis Makan Malam anjuran Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) Daro di sini malam tadi.

Majlis yang dihadiri lebih 400 ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dari 19 JKKK itu diadakan di Dewan Masyarakat Daro.

Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi yang hadir sama dan turut berucap pada majlis itu berharap lebih banyak program berbentuk kemasyarakatan dianjurkan di sini.

Pada majlis itu, Ahmad Johnie mengumumkan peruntukan geran RM10,000 kepada Jawatankuasa KMKK Daro untuk menganjurkan lebih banyak program atau aktiviti di kawasan terbabit.

Bertemakan ‘Malam Pesta Muda Mudi’, majlis itu diserikan dengan acara hiburan, persembahan seni dan pertandingan yang melibatkan ahli JKKK yang hadir.

Acara itu selain bertujuan mengeratkan hubungan antara penduduk tetapi juga memberi peluang kepada semua ahli JKKK untuk beramah mesra dan merapatkan lagi silaturahim.

Majlis diserikan dengan penyampaian cenderamata dan penghargaan kepada individu dan pihak yang memberi sumbangan dalam pembangunan kampung-kampung di Daro.

Hadir sama Residen Bahagian Mukah, Datu Kueh Leh Poh, Pegawai Daerah Daro, Zul Usup, Pemanca Lau Oi Phen Pengerusi KMKK Daro, Penghulu Jebli Ngok dan Ketua Polis Daerah Daro, DSP Rahim Mihos.