BRUIT: Program Lanjutan Pemprosesan Produk-produk Mee adalah selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) untuk membuka peluang kepada peserta berdikari dan berjaya dalam bidang diceburi.
Ahli Parlimen Tanjong Manis, Yusuf Abdul Wahab justeru berharap peserta memanfaatkan ilmu yang diperoleh untuk menjana pendapatan, meningkatkan ekonomi rumahtangga serta memperkasa sosioekonomi komuniti.
Program tersebut diyakini mampu melahirkan beberapa pengusaha dan pembekal mee kuning berjaya untuk pasaran di Tanjong Manis, Belawai, Rajang, Jerijih dan kawasan sekitarnya, katanya pada Majlis Penutupan Program Lanjutan Pemprosesan Produk-produk Mee di Dewan Masyarakat Kampung Bruit di sini semalam.
Menurut Yusuf, selain itu, peserta juga boleh meneroka industri hiliran berasaskan produk mee yang sesuai diusahakan secara kecil-kecilan.
Beliau mencadangkan supaya Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia mengenai Matlamat Pembangunan Mampan (APPGM-SDG) memperkenalkan lebih banyak program kemahiran lain, termasuk untuk lelaki dan belia, supaya latihan bersifat lebih menyeluruh dan membawa impak yang lebih besar kepada komuniti.
“Saya berharap hasil latihan ini mampu membuka jalan kepada peserta untuk meneroka pasaran lebih luas dan terus berjaya dalam bidang masing-masing,” katanya.
Program itu, tambahnya, bukan sahaja memberi kemahiran praktikal kepada peserta, tetapi juga membantu membangunkan ekonomi setempat menerusi penghasilan dan pemasaran produk tempatan.
Kejayaan beberapa pengusaha yang lahir daripada program itu menjadi bukti keberkesanan latihan yang dianjurkan, sekali gus menyerlahkan potensi besar industri hiliran dalam komuniti.
