KUCHING: Kerajaan Sarawak merancang untuk menganjurkan Sukan Borneo 2025 dalam skala kecil dengan cadangan melangsungkan hanya empat atau lima acara sahaja.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, penganjuran sukan dwitahunan itu kali ini hanya sebagai usaha untuk ‘menghidupkan kembali’ temasya tersebut yang telah terhenti agak lama.
Katanya, sukan yang bakal dipertandingkan masih lagi dalam perbincangan menyaksikan penganjurannya akan berpusat di bandar raya ini.
“Kita akan bermula secara kecil-kecilan dahulu dengan kemungkinan hanya empat atau lima sukan sahaja. Setelah Sukan Borneo mendapat perhatian sewajarnya, kita akan perluaskan lagi,” jelasnya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media ICC U-19 Women’s World Cup di Panggung Udara, Tebingan Kuching di sini, hari ini.
Untuk rekod, jumlah wilayah yang bakal turut serta adalah Sarawak, Brunei Darussalam, Sabah, Kalimantan dan Wilayah Persekutuan Labuan.
