KUCHING: Karya lagenda seni tanah air, Tan Sri P. Ramlee akan terus dihidupkan sebagai menghargai warisan seni seniman agung ini.
Komitmen itu dinyatakan Kelab Peminat P. Ramlee (KPPR) agar karya tokoh seni negara itu tetap segar dan subur dalam kalangan masyarakat termasuk generasi baru.
Menurut Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan 2022, Datu Dr. Adi Badiozaman Tuah, kelab ini sering diundang ke pelbagai majlis penting, termasuk program ilmiah dan persembahan khas untuk memperkenalkan dan menghargai warisan seni Tan Sri P. Ramlee.
“Kelab ini pernah melaksanakan program serupa bersama pemimpin-pemimpin terdahulu, seperti Yang di-Pertua Negeri Sarawak Allahyarham Tun Salahuddin dan Allahyarham Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud, dalam usaha mengangkat nama P. Ramlee sebagai ikon seni yang menjadi inspirasi kepada generasi muda.
“P. Ramlee bukan sahaja menghasilkan karya seni yang hebat, tetapi juga karya yang mengandungi nilai intelektual tinggi yang masih dihargai hingga kini,” ujarnya selepas melakukan kunjungan hormat terhadap Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar di sini, hari ini.
Adi percaya, dengan sokongan berterusan dari pelbagai pihak termasuk Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi sendiri, generasi muda dapat menjadikan seni peninggalan Tan Sri P Ramlee sebagai medium pembentukan jati diri dan watak bangsa.
Kunjungan tersebut antara lain untuk merancang serta menganjurkan persembahan khas sempena sambutan hari lahir Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi nanti.
