TAGS beri peluang kepada mangsa ambil tindakan pelaku gangguan seksual

SIBU: Tribunal bagi Antigangguan Seksual (TAGS) yang beroperasi sejak 8 Mac 2024 menjadi saluran mudah, cepat dan kos rendah bagi mangsa menuntut keadilan.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri berkata, tribunal ini memberi peluang kepada mangsa mengambil tindakan terhadap pelaku.

“Ia bagi mendapatkan hak tebus rugi atas kehilangan atau kerosakan yang ditanggung akibat gangguan seksual,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa penutupan Program Kasih Komuniti dan Advokasi Antigangguan Seksual@Sibu di Dewan Komuniti Sibu Jaya, hari ini.

Menurutnya, sebanyak 28 aduan difail pada 2024. Daripada jumlah itu 10 selesai dalam tempoh ditetapkan sekali gus memberi mangsa peluang menuntut tebus rugi atas kerugian akibat gangguan.

“Gangguan seksual ialah perlakuan yang bersifat subjektif, boleh berlaku di mana-mana dan kepada sesiapa sahaja.

“Adalah penting untuk golongan masyarakat sedar bahawa gangguan seksual merupakan perlakuan yang bersifat seksual dan mendatangkan perasaan tidak selesa, takut atau terancam kepada mangsa dengan tingkah laku pelaku,” katanya.

Katanya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) melaporkan 506 kes gangguan seksual pada 2021 dan menunjukkan sedikit penurunan pada 2022, iaitu kepada 488 kes.

“Pada tahun 2023, kes meningkat semula kepada 529 kes. Jumlah kes yang dilaporkan ini melibatkan kedua-dua jantina, lelaki dan wanita. Bagi 2024, sehingga Oktober 2024, sebanyak 666 kes telah dilaporkan,” ujarnya.

Beliau berharap program tersebut dapat membantu KPWKM menyebar luas advokasi berkaitan gangguan seksual yang bertujuan mencegah dan meningkatkan kesedaran masyarakat tentang isu ini.