Sarawak turut hulur bantuan RM1,000 kepada KIR berdaftar di PPS

BINTULU: Kerajaan Sarawak menghulurkan bantuan sebanyak RM1,000 kepada setiap Ketua Isi Keluarga (KIR) yang berdaftar pindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas sehubungan itu menasihatkan keluarga yang masih belum berpindah ke PPS supaya berpindah segera demi keselamatan.

“Bagi Kerajaan Sarawak, kita memang ikut apa yang diputuskan Kerajaan Persekutuan iaitu kita bagi RM1,000 untuk setiap keluarga, kepada yang berdaftar.

“Yang penting kita hendak menyelamatkan nyawa kerana kalau tidak berpindah akan menimbulkan masalah.

“Dan jentera-jentera kita cuba sedaya upaya untuk membawa mereka kepada pusat-pusat pemindahan sementara tersebut,” katanya.

Terdahulu, Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) bersama Timbalan Perdana Menteri Dato’ Sri Fadillah Yusof bersama mendengar taklimat banjir di bilik mesyuarat Pejabat Residen Bahagian Bintulu, di sini, hari ini.

Mereka kemudian melawat mangsa banjir yang ditempatkan di PPS Balai Raya Jepak dan PPS Dewan Suarah Bintulu.