Tanah runtuh: Penempatan baharu sedang dikenal pasti pindahkan mangsa

MIRI: Kerajaan Sarawak sedang mempertimbangkan cadangan memindahkan mangsa tanah runtuh di Kampung Lereng Bukit, Miri di penempatan baharu.

Menurut Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, kawasan yang sesuai sedang dikenal pasti untuk menempatkan penduduk kampung
terjejas.

“Kita akan berbincang semula dan cadangan kita untuk menyediakan penempatan semula di kawasan yang lebih selamat.

“Kita sudah ada pengalaman dalam perkara ini seperti projek Darul Hana di Tebingan Sungai Kuching,” katanya dalam sidang media selepas melawat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Bulan Sabit Merah di sini hari ini.

Jelas Abang Johari, kawasan yang terjejas itu kelak akan dipulihkan menjadi zon hijau.

Mengulas mengenai tragedi yang meragut lima nyawa itu, beliau menegaskan bahawa kejadian tanah runtuh tersebut bukan berpunca daripada masalah perparitan sebaliknya akibat perubahan iklim.

“Ini adalah kejadian luar biasa, bukan disebabkan oleh sistem perparitan, tetapi kerana hujan yang tidak berhenti serta fenomena air pasang besar. Inilah kesan perubahan iklim,” katanya.

Sementara itu, Abang Johari mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM10 juta kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) bagi membantu kawasan yang terjejas akibat banjir dan tanah runtuh.

Katanya, langkah itu diambil berikutan keadaan cuaca yang memberi kesan kepada banyak kawasan di negeri ini.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atas peruntukan RM24 juta kepada Sabah dan Sarawak bagi membaiki infrastruktur yang rosak akibat banjir.

Dalam lawatan itu, Premier Sarawak turut menyampaikan sumbangan kepada 26 Ketua Isi Rumah (KIR), terdiri daripada 25 KIR yang terjejas akibat tanah runtuh dan seorang mangsa banjir, menjadikan keseluruhan seramai 111 mangsa terlibat.

Terdahulu, Abang Johari melawat mangsa tanah runtuh di Hospital Miri iaitu Arabi Samsudin, Nur Irsalina Syahirah dan Massahan Mustafa sambil menyampaikan sumbangan berupa wang tunai.

Selepas itu, Premier Sarawak bersama rombongan ke Kampung Lereng Bukit bagi meninjau kawasan itu.

Hadir sama Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Dato Sri Julaihi Narawi, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan) Dato Sri Dr. Muhammad Abdullah Zaidel, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Sebastian Ting dan Pengerusi Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Cawangan Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan Hong Nam.