Jalan Pan Borneo tidak ditutup

SERIAN: Jalan Pan Borneo di seluruh Sarawak tidak ditutup dan selamat untuk dilalui meskipun negeri ini dilanda banjir.

Menteri Kerja Raya, Dato Seri Alexander Nanta Linggi berkata empat lokasi di LPB yang dilanda banjir namun boleh dilalui termasuk kenderaan ringan iaitu di Seksyen Serian, Seksyen Selangau, Seksyen Bakun dan Seksyen Pujut.

“Tidak perlu ditutup walaupun banjir. Keselamatan dan keselesaan pengguna juga dijamin kerana ada pihak yang membantu di lokasi-lokasi tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa melakukan tinjauan ke jalan persekutuan yang terjejas akibat banjir di KM 187.000 – 187.700 (700m) di kedua-dua hala, iaitu dari Serian ke Sri Aman dan sebaliknya, hari ini.

Selain itu, beliau turut memaklumkan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak siap siaga sekiranya terdapat aduan orang awam melalui platform media sosial.

Ahli Parlimen Kapit itu turut memuji tindakan pantas JKR Sarawak menangani insiden tanah runtuh di Jalan Song Temalat segera membina jalan lencongan untuk memudahkan pergerakan orang ramai.

“Saya menghargai JKR Sarawak, sudah ada jalan alternatif atau jalan sementara.

“Saya difahamkan ia akan dilengkapi dengan batu-batu supaya tidak licin,” katanya lagi.

Alexander Linggi turut mencadangkan kepada JKR Sarawak untuk melantik syarikat konsesi yang menjalankan kerja-kerja mengurus cerun-cerun di negeri ini bagi mengelak risiko berlaku tanah runtuh.

Katanya, kaedah itu dipraktikkan di peringkat persekutuan, syarikat konsesi yang dilantik dapat melaksanakan kerja-kerja dengan cepat, segera dan teratur sebab ada peruntukan yang disediakan.

“Di Sarawak, saya dengar belum ada. Mungkin ia satu idea yang boleh diguna atau diaplikasi di Sarawak.

“Sebab dengan cara itu, konsesi boleh bergerak dengan segera tanpa menunggu lama peruntukan.

“Ia terpulang dengan JKR Sarawak dan kerajaan negeri,” jelas Alexander Nanta lagi.

Turut hadir Pengarah JKR Sarawak, Ir. Dr. Cassidy Morris.