Kaji semula sistem pengairan

SEBUYAU: Sistem saliran dan pengairan di kawasan ini perlu dikaji semula untuk menampung aliran isipadu air yang mengalir keluar khususnya dari ladang sawit, belakang kawasan kampung dan rumah panjang.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Dato Sri Julaihi Narawi berkata, selain peruntukan kerajaan, pihak ladang sawit swasta yang berkaitan perlu bertanggung jawab dari segi kos pembinaan sistem saliran dan pengairan yang lebih berkesan termasuk bilangan ‘Tidal DID Gate’ yang perlu dibina kelak.

“Mungkin juga perlu dilihat dari segi semakan dasar kerajaan terhadap keperluan sistem saliran dan pengairan air untuk ladang besar bukan sahaja di daerah Sebuyau, tetapi juga di seluruh Sarawak airnya mengalir melalui kawasan kampung dan rumah panjang.

“Semoga banjir yang disebabkan hujan lebat ini cepat surut supaya mangsa dapat balik ke rumah masing-masing,” katanya.

Julaihi yang juga ADUN Sebuyau berkesempatan meninjau keadaan di semua keempat-empat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) hari ini dan seterusnya menyampai bakul makanan.

Empat PPS ialah Dewan Pembangunan Sebuyau, Dewan Masyarakat Lutong Sebangan, Dewan Masyarakat Arus Melayu dan Dewan Masyarakat Bajong Ili.