DEBAK: Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Mohd. Razi Sitam bersama penduduk kampung di sini bergotong-royong membaik pulih jambatan gantung di Kampung Debak Laut.
Razi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Saribas yang menerima cadangan daripada penduduk kampung untuk membaik pulih jambatan tersebut melalui aktiviti gotong-royong, turun padang bersama penduduk bagi menjayakannya.
“Gotong-royong adalah satu usaha yang sangat penting dalam memupuk semangat kerjasama dalam kalangan masyarakat. Kita perlu berganding bahu menjaga kemudahan sedia ada, untuk manfaat komuniti,” katanya.
Gotong-royong itu dianjurkan bertujuan memupuk semangat kerjasama dalam kalangan komuniti dan bertanggungjawab menjaga kemudahan.
Jambatan gantung yang menghubungkan dua kawasan di Kampung Debak Laut itu mengalami kerosakan teruk akibat kecurian dan vandalisme.
Turut hadir Temenggong Piee Alwi; Penghulu Abang Kifrawi Rukaili; Penghulu Moktar Bakri dan ketua kaum di Debak Laut.
