Sokongan NGO perlu bantu mangsa bencana alam

KUCHING: Peranan badan bukan kerajaan (NGO) amat penting dan diperlukan Kerajaan Sarawak untuk membantu mangsa-mangsa bencana alam.

Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Utiliti), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, walaupun jentera kerajaan sudah ada namun sokongan daripada NGO juga diperlukan bagi merealisasikan usaha-usaha kerajaan membantu masyarakat yang terkesan susulan banjir dan tanah runtuh baru-baru ini.

“Sekiranya dapat, kita turut serta untuk melihat bagaimana kita dapat membantu masyarakat yang terlibat dalam bencana alam baru-baru ini.

“Sekurang-kurangnya dapat meringankan beban mereka walaupun jentera kerajaan sudah ada,” katanya pada Majlis Penyampaian Dana dan Pentadbiran dan Aktiviti NGO Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Damai di Pusat Khidmat Pantai Damai, Jalan Haji Taha di sini, hari ini.

Dr Abdul Rahman juga berharap, dana yang diperuntukkan itu dimanfaatkan bagi melaksanakan aktiviti serta memfokuskan terhadap pembangunan belia.